Anwar Ibrahim pagi ini (1 October 2018) sarapan pagi bersama rakyat di Stall Bt 7, Kampung Baharu, Port Dickson.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan nama yang asing dalam politik tanah air dan turut mempunyai karisma tersendiri yang membuatkan beliau turut dikenali di peringkat antarabangsa.

Beliau adalah tokoh yang menjadi penggerak utama agenda reformasi yang akhirnya membawa satu perubahan dalam landskap politik negara melalui perjuangan yang penuh liku.

Terkenal dengan retorik pidato yang mampu membangkitkan semangat mereka yang mendengar, Anwar memiliki pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran negara yang sekali gus meletakkan beliau lebih terkehadapan berbanding pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Apatah lagi, tawaran yang dibawa oleh calon Pakatan Harapan itu untuk pengundi di kawasan itu juga lebih meyakinkan.

Dilahirkan pada 10 Okt 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell.

Beliau menyambung ke pengajian menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1960 hingga 1966 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera) di Universiti Malaya dari 1967 hingga 1971.

Anwar mula terlibat dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-6 pada tahun yang sama.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan menang kerusi tersebut dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dalam beberapa lagi pilihan raya umum.

Anwar meningkat naik cukup pantas dalam politik apabila dilantik ke pelbagai jawatan dalam Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986) dan Menteri Kewangan (1991).

Beliau yang dianggap sebagai ‘anak didikan’ Mahathir kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada 1998.

Selepas dipecat daripada kerajaan, Anwar dipenjara atas tuduhan liwat dan bermulalah laungan reformasi yang akhirnya membentuk penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas dibebaskan daripada penjara pada 2004 dan disekat daripada terlibat politik selama lima tahun, Anwar kembali ke pentas politik dengan menjadi calon dalam PRK Permatang Pauh pada 2008.

Beliau yang menang PRK itu kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun terpaksa pulang ke penjara semula pada 2015 atas tuduhan liwat sekali lagi sebelum mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lalu.

Selepas lebih 20 tahun melalui perit jerih perjuangan politik sebagai pembangkang, ia akhirnya berbaloi apabila berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang telah mentadbir negara selama 61 tahun.

Kini, PRK Port Dickson menjadi platform bagi Anwar untuk meneruskan agenda reformasi dalam negara dan kemenangan dalam pilihan raya itu juga akan membolehkan Negeri Sembilan memiliki seorang perdana menteri yang dilantik dari negeri itu. – BERNAMA

Leave a Reply