Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon terbaik bagi pengundi Port Dickson kerana pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik pada tahun 90-an, kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Okt ini perlu memilih Anwar berdasarkan sumbangan dan khidmatnya ketika memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan dari 1991-1998 dan Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998.

Dr Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri, meminta pengundi supaya memberi peluang kepada suaminya untuk terus memberi sumbangan kepada rakyat dan kembali semula ke pentas politik negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan Utama PKR bagi PRK PD di sini, malam ini.

Selain Anwar, turut hadir, Setiausaha Agong PKR merangkap Menter Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Dr Wan Azizah berkata jiwa Anwar yang mahu berbakti kepada rakyat adalah antara sebab Ketua Umum PKR itu memilih untuk menjadi Anggota Parlimen Port Dickson.

Penamaan calon adalah esok dan setakat ini beberapa individu telah mengumumkan akan bertanding di kerusi berkenaan.

Selain Anwar, individu lain ialah calon PAS, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar serta beberapa calon Bebas termasuklah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Saingan PRK Port Dickson menjadi perhatian umum apabila disebut-sebut bakal menyaksikan pertembungan lebih lima penjuru meskipun Barisan Nasional (BN) bertindak memboikot dengan tidak meletakkan calon.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan Datuk V.S. Mogan (BN) dan Mahfuz Roslan (PAS).

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dun iaitu Chuah dan Lukut, masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR). – BERNAMA

Leave a Reply