Sentimen masyarakat Port Dickson terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, dilihat positif berdasarkan dapatan awal kaji selidik yang dijalankan PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata kaji selidik yang dijangka siap dalam tempoh beberapa hari lagi itu bertujuan mengetahui penerimaan pengundi tempatan terhadap Ketua Umum PKR itu.

“Dapatan awal kaji selidik kita nampak sentimen pengundi adalah positif terhadap Anwar dan ramai menyatakan kesediaan menerima beliau sebagai anggota Parlimen di sini, malah mereka teruja untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Selain itu, berdasarkan kehadiran penduduk pada hari penamaan calon semalam dan program parti pada hari pertama berkempen, kita dapati sambutan dan minat pengundi terhadap PH adalah baik dan memuaskan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Fahmi berkata semua program kempen Anwar bagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian 13 Okt ini akan diperhebat dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk kempen dari rumah ke rumah. – BERNAMA

Leave a Reply